Latar Belakang

Wayang kulit merupakan salah satu seni persembahan melayu tradisional Kelantan yang masih diminati hingga kini. Sungguhpun puppet digunakan sebagai bahan utama dalam persembahan wayang kulit, tetapi konsepnya ia bukan suatu puppet show tapi lebih berbentuk shadow play.

Wayang kulit dipersembahkan untuk memenuhi beberapa tujuan. Pada zaman dahulu, persembahan wayang kulit diadakan selepas musim menuai padi sebagai hiburan kepada masyarakat melayu luar bandar. Meniti arus perkembangannya, wayang kulit suatu ketika dahulu pernah dijadikan sebagai punca pendapatan bagi penganjur persembahan. Bagi tujuan komersial ini, penganjur akan membuat lingkungan pagar yang diperbuat daripada kain guni yang telah disambung bagi mengawal penonton daripada masuk dari banyak arah. Pungutan tiket sebagai bayaran menonton wayang kulit dibuat pada pintu masuk.

Wayang kulit sebagai sumber hiburan sangat popular dikalangan masyarakat melayu dahulu.Tahap populariti tersebut kian menurun kerana tiada kefahaman dan penghayatan oleh generasi sekarang terhadap wayang kulit. Selain itu, persembahan alternatif yang berbentuk digital lebih menarik perhatian generasi kini, sehingga wayang kulit digantikan dengan wayang gambar.

Usaha intensif perlu dilakukan bukan hanya setakat memperkenalkan ilmu pengetahuan dan kemahiran membuat persembahan wayang kulit kerana ‘tak kenal maka tak cinta’.

Kini, persembahan wayang kulit dijadikan sebagai salah satu aktiviti kebudayaan untuk menarik kedatangan pelancong asing melawat Kelantan. Tujuan ini lebih dominan berbanding sebagai usaha untuk mengekalkan seni persembahan tradisional untuk dinikmati oleh generasi baru.